Print

2nd Embalming Workshop : Bengkel Pengawetan Mayat

Written by Webmaster on . Posted in Berita

Bengkel Pengawetan Mayat telah diadakan pada 7 hingga 9 Ogos 2009 anjuran Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, UKM Kampus Kuala Lumpur. Wakil fakulti disertai oleh En. Zulkifli Ismail serta En. Mohd Najib. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, pensyarah dari Jabatan Syariah, UKM dalam ceramah beliau menyatakan “Menurut Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke 33 (1993)  hukum pengawetan mayat adalah harus jika terdapat keperluan. Sama dengan melakukan pembedahan mayat bagi tujuan perubatan dan kajian ilmiah. Mayat disimpan di dalam larutan khusus untuk mengelakkannya daripada mereput. Menurut perspektif Islam, anak Adam merupakan makhluk yang paling mulia di muka bumi ini. Wajib disemadikan jenazah secepat mungkin dan disemadikan mengikut cara yang disyariatkan. Haram menghina jenazah dalam apa jua keadaan sekalipun. Namun, menurut kepercayaan orang-orang Mesir dahulu bahawa roh seseorang itu wujud selagi mayatnya masih ada. Sekiranya mayat tersebut diawet, rohnya akan tetap wujud. Lalu orang-orang Mesir ini menjadikan gurun pasir yang panas sebagai tempat pengkebumian supaya mayat itu sentiasa kering. Tanpa air, proses pereputan akan menjadi lebih lambat. Pada tahun 3000 S.M orang-orang Mesir mula mengawetkan mayat kerana mereka tidak lagi menanam mayat Si Mati. Sebaliknya mayat diletakkan di dalam sebuah bangunan tersebut bagi mempercepatkan proses pereputan mayat menyebabkan mereka mengambil keputusan mengawetkan mayat dengan menggunakan rempah, herba dan damar wangi.”

Tambah ustaz Mohd Izhar lagi, berbeza pula dengan kaedah pengawetan mayat pada zaman Firaun.  Cara yang terbaik tetapi memerlukan belanja yang tinggi ialah dengan membelah mayat dan mengeluarkan segala organ dalam tubuhnya lalu digantikan dengan bahan pengawet yang telah disediakan. Otak mayat juga turut dikeluarkan. Tubuh mayat ini kemudian dibungkus dengan kain pembalut luka. Kesemua organ dalaman yang dikeluarkan (kecuali jantung) akan turut diawet dan kemudian diletakkan dalam bekas yang berlainan lalu ditanam bersama mayat tadi. Cara ini mengambil masa 70 hari untuk sempurna. Cara yang kedua yang tidak memerlukan belanja yang banyak ialah dengan merendamkan mayat dalam cecair kimia natron selama empat atau lima minggu.

Isu-isu terkini berkenaan etika serta aspek undang-undang melibatkan tubuh manusia, pengawetan dari segi islam, prosedur penerimaan kadaver, prosedur penghantaran serta sesi pengendalian pengawetan kadaver turut dibentangkan. Manakala sesi demonstrasi diketuai oleh Pn. Hairi Ghazali berkongsi ilmu beliau berkenaan teknik pengawetan mayat, penyediaan makmal yang sesuai dan prosedur serta amalan keselamatan di makmal pengawetan mayat. Menurut beliau larutan pengawet dimasukkan menggunakan mesin khas ke dalam salur darah arteri femoral atau arteri karotid dalam keadaan bertekanan tinggi. Larutan pengawet akan tersebar ke seluruh bahagian tisu dan keadaan ini dibiarkan dalam tempoh satu jam bergantung kepada keadaan mayat.



Disediakan Oleh : Mohd Najib